Sunday 12 June 2011

Pengenalan


Bangunan Sultan Abdul Samad menjadi mercu tanda bandar raya Kuala Lumpur, ibu negara Malaysia. Bangunan ini mengambil nama Sultan Abdul Samad, sempena nama Sultan Selangor pada masa ia mula dibina 1894.

Di hadapan bangunan indah ini beberapa peristiwa sejarah berlaku. Di sinilah tempat di mana bendera Union Jack diturunkan pada 31 Ogos 1957 dan bendera Jalur Gemilang dikibarkan. Peristiwa ini menunjukkan berlalulah satu era dijajah kepada era masyarakat yang merdeka.

Bangunan ini diwartakan sebagai Warisan Kebangsaan dalam kategori Tapak Warisan pada 2007 oleh Jabatan Warisan Negara, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia di bawah Akta 645.

Nama Bangunan


Nama bangunan ini diambil bersempena dengan nama Sultan Selangor yang memerintah pada masa itu, iaitu Sultan Abdul Samad pada tahun 1896.Pada asalnya bangunan ini hanya disebut ‘Bangunan’ sebelum ditukar nama kepada nama Sultan Abdul Samad.

Asal-usul


Pada mula pembinaannya di kenali sebagai Bangunan Baru Kerajaan (the new Government Offices), kemudian sebagai Sekretariat Persekutuan, (Federal Secretariat), di guna bersama dengan Kerajaan Negeri Selangor sebelum berpindah ke Shah Alam pada tahun 1974.
Pembinaan Bangunan ini adalah kemuncak pembangunan yang di dirikan di Kuala Lumpur pada akhir abad ke 19 malah berupa kejayaan program Bangunan Tersergam (Massive Building programme), di bawah pengendaliaan Maxwell/Spooner sebagai perancang dan akitek Bangunan Kerajaan di Kuala Lumpur ketika itu.

Pengasas

Sultan Abdul Samad


Anthony C.Norman

Bangunan ini telah diasaskan oleh arkitek Inggeris yang bernama Anthony C.Norman sekitar tahun 1893-1897 untuk menempatkan beberapa jabatan kerajaan penting ketika zaman pemerintahan British. Norman menghabiskan masa di Afrika dan mendapat ilham daripada masjid di India yang membawa kepada ciri senibina Moor dalam arkitektur Bangunan Sultan Abdul Samad.

Tarikh Pembinaan


Bangunan ini telah di bina pada tahun 1893.Tetapi perlrtakan batu asas bagi bangunan ini hanya dibuat pada 6 Oktober 1894 oleh Sir Charles B.H Mitchell yang merupakan Gabenor negeri-negeri Selat ketika itu.Bangunan ini telah siap di bina pada tahun 1897.

Lokasi


Bangunan Sultan Abdul Samad ini terletak pada satu tapak di antara pertemuan Sungai Kelang dan Sungai Gombak dan terkenal kerana merupakan satu tempat yang strategik iaitu di tengah-tengah pusat bandar Kuala Lumpur.Keluasan kawasan tersebut adalah 10,200 meter persegi.Di bahagian belakangnya terdapat Jalan Belanda yang kini dikenali sebagai Jalan Makamah Perseketuan.Kedudukan bangunan dikatakan strategik kerana terletak berhampiran dengan Dataran Merdeka,Kelab Diraja Selangor dan Masjid Jamek yang kesemuanya terletak berhampiran Sungai Gombak.

Tujuan Penubuhan Bangunan


Tujuan penubuhan awal adalah sebagai Bangunan Kerajaan Baru untuk menempatkan semua Jabatan pentadbiran Negeri – Negeri Melayu Bersekutu (F.M.S) di bawah satu Bangunan pentadbiran berpusat:

1. Menempatkan Sekretariat Kerajaan (G.S.O);
2. Bilik mesyuarat Majlis Negeri (Council Chamber);
3. Pejabat Pos; Lembaga Kebersihan (Sanitary Board);
4. Pejabat Kehakiman (Judicial Commissioner);
5. Public Works Department (PWD);
6. Audit dan Perbendaharaan;
7. Pejabat Tanah;
8. Jabatan Galian;
9. Pejabat Daerah Jabatan Kerja Raya (P.W.D. District Office)

Kos Pembinaan


Kos binaan setelah siap April 1897 berjumlah $152,824 (anggaran awal $152,000) memakan masa pembinaan selama 2 tahun 7 bulan selepas perletakan batu asas yang dilakukan oleh H.E Sir Charles B.H Mitchell K.C.M.G (Gabenor negeri-negeri Selat) pada 6hb Oktober 1894.Kos pembinaanya yang berjumlah $152.824 merupakan bangunan yang termahal di rantau ini pada ketika ianya didirikan.

Perasmian


Bangunan ini telah disiapkan pada tahun 1897 dan dirasmikan dengan acara gilang-gemilang dengan ucapan Spooner yang menarik mengenai sejarah pembinaan bangunan tersebut.Teks lengkap ucapan beliau dalam Bahasa Inggeris boleh didapati dalam JMBRAS VOL. 65, tulisan The Bangunan Sultan Abdul Samad by J.M. Gillick.

Pelan


Pelan bangunan ini telah direka bentuk oleh arkitek dari British bernama A.C Norman (yang bekerja di Jabatan Kerja Raya di Kuala Lumpur) dan dibantu oleh seorang jurutera juga yang berasal dari British, iaitu C.E Spooner.

Pelan bangunan ini berbentuk ladam yang mana di tengah-tengahnya terdapat satu dataran/laman segi empat yang dipagari oleh batas-batas pokok bunga. Kehadiran laman ini memberi pengudaraan kepada ruang legar di sebelah tampak dalam bangunan ini.
Bahagian utama bangunan ini ialah anjung yang menghadap ke arah Padang Kelab Diraja Selangor. Apabila memasuki pintu utama bangunan ini, kita dapat melihat tangga berbentuk separuh bulatan yang menuju ke kamar-kamar Hakim dan bilik-bilik Mahkamah Agung.

Ruang pejabat bangunan ini hampir 100 peratus dikelilingi serambi yang mana memberikan pengudaraan secara maksima, terutama pada zaman ianya dibina tidak mempunyai pendingin udara.

Bahan Binaan


Kerja-kerja membangunkan bangunan ini telah mnggunakan beberapa bahan binaan iaitu, 4 juta batu bata, 2,500 tong simen, 18,000 pikul kapur, 5,000 paun tembaga, 50 tan besi keluli dan 30,000 kaki padu kayu.

Reka Bentuk


Reka bentuk asal yang dikemukakan oleh Norman adalah hanya sebuah bangunan yang berkonsep Inggeris Classical Rennaisance. Bidwell, seorang arkitek muda, adalah orang yang bertanggungjawab mengadaptasi seni bina Islam (Mahometan style) sebagai tonggak reka bentuk tampak bangunan tersebut di atas pelan asal Norman selepas Spooner kurang berpuashati dengan reka bentuk tampak yang dikemukakan oleh A.C. Norman. Bangunan dua tingkat ini mempunyai ketinggian 17.5 meter dengan menara jam setinggi 40 meter dan meliputi kawasan seluas 10,200 meter persegi.

Ciri-ciri utama bangunan ini adalah ketiga-tiga kubahnya, menara jam besar dan arked serta lengkungannya yang luas. Ketiga-tiga kubah tersebut yang asalnya diperbuat daripada kayu dan batu bata dan dicat hitam, telah digantikan dengan kubah-kubah bersalut tembaga. Kubah yang terletak di atas menara jam besar diapit oleh dua kubah kecil dengan tangga pilin menurun. Kubah tengah agak luar biasa kerana ia adalah paduan dua ciri tradisional kubah dan kios.

Arch yang terdapat di bangunan ini adalah berbentuk ladam yang tajam dengan jarak antara dua tiang yang berbeza-beza. Ianya diperbuat daripada batu-bata yang dicat hitam. Menara jam besar yang terletak di tengah-tengah diimbangi oleh dua menara kecil di sudut bangunan. Tangga pilin di menara kecil menghala ke arah menara seolah-olah melambangkan keagungan bangunan ini.

Pengubahsuaian




Sekitar tahun 1978, kerja-kerja pengubahsuaian telah dibuat dan siap sepenuhnya dalam tahun 1984 dengan anggaran belanja RM 17.2 juta. Pada waktu itu, kerajaan Australia telah menyumbang sebanyak RM200,000 sebagai kos menyadur tembaga bagi ketiga-tiga kubah pada tahun 1982. Pengubahsuaian ini dilakukan hanya pda bahagian dalam bangunan tanpa menjejaskan bahagian luarnya dan kedudukan asal bangunan tersebut. Selepas siap sepenuhnya, Bangunan Sultan Abdul Samad ini sekali lagi dirasmikan pada tahun 1984.

Kerja-kerja mereka bentuk bangunan ini telah bermula seawal tahun 1889, setelah W. E. Maxwell mengambil alih tugas sebagai Residen British di Selangor. Pada masa itu, Kuala Lumpur hanya dihuni oleh bangunan-bangunan rumah kedai dan beberapa bangunan kerajaan yang tidak berapa menonjol. Maxwell telah membawa C. E. Spooner dari Ceylon sebagai State Engineer dan dibantu oleh Bellamy dan A.C. Norman sebagai arkitek.

Ubah suai dilakukan lagi pada 2007. Majlis penyerahan Bangunan Sultan Abdul Samad kepada Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia (KPKKW) telah diadakan pada 24 Disember 2008. Penyerahan adalah daripada SPAZ Sdn. Bhd. Kepada Jabatan Kerja Raya Malaysia dan seterusnya kepada KPKKW.

Hiasan Dalaman


Di dalam bangunan ini turut dibina sebuah dataran berbentuk segi empat yang diperindahkan di mana di tengah-tengahnya terdapat satu dataran tinggi segi empat yang dipagari oleh batas-batas pokok bunga yang cantik. Bangunan ini juga mempunyai tiga kubah, satu menara jam besar dan sebuah arked. Ia juga terdapat satu serambi besar tertutup.

Cara Pembinaan

Sebagai Bangunan yang menjadi ‘pemula’ dalam waktu pembinaanya 1894 hingga 1897, hasil senibinanya pula lengkap dengan ciri-ciri keistimewaan dari aspek komposisi karektor seperti stail, ragam hias dan pemilihan unsur-unsur Islam pada gerbang tingkap, bentuk separuh lengkong, kubah potong bawang dan struktur berbentuk minaret yang kebiasaannya terdapat pada senibina Masjid. Kesemua elemen-elemen tersebut menambah nilai estetika yang hebat dan kemudian menjadi contoh ikutan dan penentu aliran kecenderungan dalam pembinaan bangunan awam.

Kegunaan Dahulu dan Sekarang


Kegunaan Dahulu
Pusat pentadbiran negeri-negeri melayu bersekutu
Pejabat Residen-General
Pejabat Besar pos
Mahkamah Agung
Mahkamah Tinggi Bahagian Sivil dan Dagang
Mahkamah Tinggi Jenayah


Kegunaan Sekarang
Makamah Tinggi Malaya
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur
Pejabat Menteri
Pejabat Timbalan Menteri
Pejabat Ketua Setiausaha
Pejabat Timbalan Ketua Setiausaha
Bahagian Pengurusan
Unit Perhubungan Awam
Unit Undang-Undang
Unit Audit Dalam
Perpustakaan KPKKW

Kejayaan Bangunan


Politik
Pernah menempatkan Setiausaha Kerajaan Selangor, kemudian menempatkan beberapa pejabat kerajaan yang lain antaranya pejabat perbendaharaan Selangor, perbendaharaan persekutuan, dan mahkamah persekutuan dan mahkamah tinggi.

Ekonomi
Merupakan tumpuan kepada pelancong–pelancong asing dan seterusnya menambah pendapat kerajaan melalui sistem pertukaran wang asing.

Sosial
Bangunan Ini dilihat sebagai bahan kajian sejarah bagi para pelajar khasnya bagi pelajar tingkatan 3 2009 yang menjalankan kerja kursus sejarah. Bangunan ini menjadi daya tarikan pelancong kerana faktor sejarahnya dan senibinanya yang unik.

Masalah Banjir


Bangunan ini turut dilanda banjir pada tahun 1971 apabila hujan lebat berlaku di seluruh negara. Jumlah hujan yang lebat itu ditambah pula dengan sistem saliran yang tidak begitu memuaskan di sekitar Kuala Lumpur.

Di belakang bangunan ini pertemuan Sungai Klang dan Sungai Gombak di mana di tengah-tengahnya adalah Masjid Jamek yang juga menggunakan ciri-ciri arkitektur yang sama oleh arkitek yang sama. Stesen komuter Masjid Jamek terletak bersebelahan dengan Masjid Jamek. Laluan air sungai selalu tersekat apabila sampah-sarap tersangkut pada tiang-tiang stesen komuter. Banjir kilat berlaku akibat perancangan stesen komuter yang tidak tepat ini.

Tempat parkir kereta di bawah Dataran Merdeka tenggelam beberapa kali apabila banjir kilat berlaku seperti pada 2003 dan 2007. Semasa banjir kilat pada 10 Jun 2007 antara jam 6.00 hingga 8.00 malam , air sedalam 1.8 meter di beberapa tempat.

Catatan Sejarah Terukir


KUALA LUMPUR 22 Nov - Bangunan bersejarah Sultan Abdul Samad di Jalan Raja di sini hari ini mencatatkan satu lagi sejarah - istiadat penghormatan penuh tentera ke atas jenazah Yang di- Pertuan Agong ke-11, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Pada masa yang sama, ia juga menyaksikan istiadat pilu pemindahan jenazah Almarhum Seri Paduka daripada usungan diraja ke atas kereta jenazah yang sedia menanti untuk menyambung perjalanan ke Istana Alam Shah, Klang.
Bangunan Sultan Abdul Samad yang merupakan struktur paling menarik di Jalan Raja, lengkap dengan menara tembaga dan menara jam setinggi 130 meter, telah menyaksikan pelbagai lakaran sejarah penting negara, termasuk pengisytiharan Kemerdekaan negara.

Bangunan yang tersergam indah hasil seni bina neoklasik Moghul, Moorish, Arab dan British, direka bentuk oleh arkitek Norman dan Bidwell. Ia mengambil masa dua tahun untuk dibina dan
siap pada 1897.

Kebetulan pula, bangunan itu dinamakan sempena moyang Almarhum Seri Paduka yang menjadi Sultan Selangor keempat yang memerintah dari 1859-1898. Pada peringkat awal, bangunan itu dijadikan pusat pentadbiran British di Malaya, kemudiannya dikenali sebagai Malaysia.

Bangunan Sultan Abdul Samad kini menempatkan mahkamah tertinggi di negara ini, jabatan kehakiman serta sebagai pusat maklumat kraftangan Malaysia.
Bertentangan bangunan itu ialah Dataran Merdeka, sebelum ini dikenali sebagai Padang Kelab Selangor yang digunakan sebagai padang kriket semasa pemerintahan British di Malaya.

Di Dataran Merdeka inilah pada tengah malam 31 Ogos, 1957, bendera Union Jack diturunkan dan digantikan dengan Bendera Malaysia serentak dengan laungan "Merdeka, Merdeka, Merdeka" menandakan kemerdekaan negara dengan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj menjadi Perdana Menteri pertama.

Bekas padang Kelab Selangor itu bertukar menjadi apa yang kita lihat sekarang, lengkap dengan pentas konkrit dengan tiang bendera setinggi 100 meter. Kerja pengubahsuaian padang itu siap lebih 10 tahun lalu.

Dataran Merdeka kini menjadi tempat utama perayaan sambutan Hari Kebangsaan dan acara rasmi dan tidak rasmi, termasuk konsert. - Bernama